Monday, February 22, 2010

Wanita itu..

Kuasa Seorang Wanita


Pepatah ada mengatakan ´tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncang dunia´. Nyata, itulah hakikatnya seperti apa yang dapat kita saksikan hari ini. Wanita begitu penting dalam kehidupan seorang lelaki. Jika tidak, Allah s.w.t tidak akan menjadikan Siti Hawa dari tulang rusuk Nabi Adam a.s sendiri untuk memenuhi rasa kesunyian dan keseorangannya di dalam syurga. Wanita begitu bererti bagi seorang lelaki kerana tanpa wanita hidup seorang lelaki tidak akan sempurna, tidak akan bertambahlah zuriat di muka bumi ini, tidak akan ada seorang lelaki bergelar suami, tidak dapatlah seorang lelaki menjadi pemimpin dalam rumah tangga, dan nescaya sunyilah hidup seorang lelaki tanpa teman untuk bergurau senda.

Kejadian wanita adalah lemah kerana dijadikan dari tulang rusuk yang bengkok. Ini menyebabkan ada kalanya ia sukar dibentuk kecuali dengan hikmah dan kebijaksanaan yang tinggi oleh lelaki yang dapat membimbingnya ke arah kebaikan. Di situlah peranan sebagai seorang pemimpin dimainkan oleh lelaki. Antara kita sedar atau tidak, wanita banyak mempengaruhi kehidupan seorang lelaki. Kuasa yang dimiliki oleh wanita boleh menentukan kejayaan atau kemusnahan hidup seorang lelaki. Lihat sahaja punca keruntuhan beberapa empayar gah dunia yang dibina oleh lelaki, tetapi musnah sekelip mata dek pujukan seorang yang bernama wanita. Antaranya adalah empayar yang dibina oleh Napoleon Bonarparte dan Josephine, Anthony dan Cleopatra, Hitler dan Matahari, Samson dan Delila, serta Abu Lahab dan Hendon.
Begitu juga sebaliknya. Di belakang kejayaan seorang lelaki, juga berdiri seorang wanita. Contohnya Nabi Muhammad s.a.w bersama Siti Khadijah serta isteri-isteri baginda yang lain, Nabi Ayub bersama Siti Rahmah, dan Nabi Ibrahim bersama Siti Sarah serta Siti Hajar. Wanita-wanita inilah yang menjadi kekuatan kepada kepimpinan seorang lelaki sehingga berjaya mengatasi segala ujian dan cabaran tanpa melemahkan semangat juang mereka dalam menegakkan kebenaran dan kekuatan agama.

Seperti kisah semasa Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu yang pertama dan bagaimana peranan yang dimainkan oleh isterinya Siti Khadijah telah memberikan semangat kepada baginda. Tepat pada umur 40 tahun, Muhammad bin Abdullah, suami Siti Khadijah menerima tugas kenabian yang harus disampaikan ke seluruh umat manusia. Tugas yang tentu saja tidak mudah, sehingga Nabi Muhammad s.a.w sendiri pada awalnya merasa ragu-ragu, apakah benar yang diterima adalah wahyu, dan apakah juga merupakan pengangkatan sebagai Nabi (yang menerima wahyu) dan Rasul (yang diutus menyampaikan misi). Tetapi sang pendampingnya Siti Khadijah, yang teguh hati, menenangkan, menenteramkan, menguatkan dan memastikan bahawa yang diterima benar wahyu dan baginda benar-benar diangkat menjadi Nabi dan Rasul.
Hal ini diketahui oleh semua orang. Kejelitaan yang dimiliki oleh wanita boleh menumbangkan ramai lelaki hingga banyak yang terarah melakukan perkara-perkara yang tidak wajar. Sebaliknya kuasa jelita yang ada pada kaum muslimah boleh menimbulkan kecintaan yang tinggi terhadap Allah di mana seorang isteri boleh mempengaruhi suami dalam hal-hal yang diredai Allah.

Kaum lelaki mudah goyah dan kalah dengan layanan yang baik. Apatah lagi daripada wanita yang sangat dikasihinya seperti isteri dan ibu. Layanan baik yang disalurkan kepada orang yang berhak menerimanya, bukan sahaja mendatangkan keredaan Allah tetapi memungkinkan apa yang diminta akan dipenuhi dengan mudah. Malahan untuk menjadi seorang isteri yang solehah adalah dengan memberi layanan yang sebaiknya terhadap suami. Ini kerana syurga seorang isteri adalah pada suaminya.
Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya lebih kuat dari lelaki. Hadis Rasulullah s.a.w ada menyebut: "Doa ibu itu lebih cepat makbul." Orang bertanya: "Kenapa ya Rasulllah ?" Jawab baginda: "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa daripada orang yang penyayang tidak akan sia-sia." Dan sebagai seorang anak, kita dilarang sama sekali untuk menderhaka kepada ibu dan sentiasa mendahulukan ibu dalam apa jua urusan. Doa seorang ibu adalah yang paling dimakbulkan oleh Allah s.w.t.
Sifat ketaqwaan lebih mudah diperolehi oleh wanita berbanding lelaki kerana kehalusan budi yang ada pada wanita. Ia merupakan penjara daripada melakukan hal-hal yang mendatangkan dosa. Berbanding lelaki yang sebahagian hidupnya berada di luar rumah serta terdedah kepada pelbagai godaan, cubaan, dan ujian. Jadi terpulanglah pada diri seorang wanita itu untuk memperoleh ketaqwaan ini.

Kemuliaan wanita akan lebih nyata, jika ditambah dengan ketaatan kepada kaum lelaki yang berhak ke atasnya sebagaimana maksud hadis Rasulullah s.a.w: “Wanita yang taat kepada suaminya, semua burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan : semuanya beristighfar baginya (isteri) selagi mana ia masih taat kepada suaminya dan diredhainya (serta menjaga solat dan puasanya)."

Bagaimanapun, ia tidak bermakna pada wanita yang hanya menjadi pak turut tanpa ada kuasa menyatakan pendirian, pegangan, pendapat atau lain-lain. Jauh tersembunyi, wanita sebenarnya dianugerahkan dengan kuasa pengaruh yang jika digunakan dengan tepat, lelaki bersedia menurut kehendaknya dan memberi segala haknya. Sabda Rasulullah s.a.w tentang besarnya peranan wanita ini ialah: "Wanita itu tiang negara, jika baik wanita di sesuatu negara itu, maka baiklah negara itu, begitulah sebaliknya."
Kalau demikian tinggi dan hebat kemuliaan dan kedudukan wanita, wajiblah dipelihara dengan sebaik-baiknya kerana jika Allah mencabut kemuliaan itu, wanita akan menjadi amat hina hingga tiadalah tempat lain yang lebih berhak baginya kecuali neraka. Oleh itu gunakanlah kuasa yang dimiliki oleh wanita di tempat yang sepatutnya. Dan bantulah lelaki untuk menjadi pemimpin yang berjaya di dunia dan di akhirat.

 




No comments:

Post a Comment