Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
MARAH umpama suntikan ubat pelali kepada pertimbangan akal kemudian menghilangkan kewarasan berfikir. Apabila perasaan marah telah menyelubungi jiwa, pelbagai implikasi buruk yang tidak dijangka boleh berlaku. Hanya kerana isteri berbual di telefon dengan lelaki lain, seorang suami di Kuala Lipis, Pahang tergamak memijak dan menghentak kepala isterinya sehingga menyebabkan kematian.
Sehubungan dengan itu, beberapa pendekatan boleh diamalkan bagi mengurus marah supaya tidak melarat lalu mengakibatkan kecederaan, kematian dan kemungkinan perceraian suami isteri. Setiap individu hendaklah menyedari betapa besar keutamaan dan kelebihan seseorang menahan amarah ketika dia berkuasa untuk melampiaskannya, termasuk dikurniakan kenikmatan masuk syurga.
Perlu juga diketahui apabila perasaan marah telah dihamburkan kepada seseorang ia tidak akan berhenti setakat itu. Orang yang dimarahi pasti akan melawan dengan sumpah seranah dan kata-kata keji sambil memburuk-burukkan satu sama lain. Terdapat pula yang tidak berbuat apa-apa mungkin menyedari dirinya lemah dan tidak berkuasa, tetapi menyimpan dendam kesumat dan berusaha untuk membalas perbuatan itu dengan apa cara sekalipun pada waktu lain.
Gara-gara marah ikatan persaudaraan akan terlerai dan kesatuan ummah atas nama ukhwah Islamiah juga lenyap. Malah kadang kala boleh mengundang dosa syirik apabila khidmat bomoh yang menggunakan Iblis dan jin sebagai perantara digunakan untuk membalas dendam.
Seseorang yang bersifat panas baran juga patut merenungkan alangkah buruk wajahnya semasa marah, dengan keadaan muka merah padam, mata terbeliak dan berair, telinga seolah-olah berasap dan seluruh badan menggigil. Dalam masa yang sama bayangkan pula gambaran orang yang penyabar dengan wajah yang manis dan berseri-seri dihiasi pula senyuman menawan sehingga membuatkan rakan dan lawan suka untuk berdamping dengannya.
Untuk itu kepada yang suka marah-marah, buatlah pilihan sama ada seronok menjadi pemarah atau sebaliknya jika masih memiliki pertimbangan akal yang sihat. Jadi fikirkan dengan rasional sama ada perlu marah atau sekadar memberi nasihat dan menyelesaikan masalah yang berlaku dengan berhemah.
Misalnya perbuatan sesetengah ibu bapa memarahi anak dengan sepak terajang sambil mengeluarkan kata-kata kesat seperti bodoh, bebal dan lain-lain tidak patut menjadi amalan, kerana ia merupakan suatu bentuk pendidikan yang salah dan bakal mencorakkan keperibadian anak-anak di hari kemudian.
Sehubungan dengan itu, sunnah Rasulullah SAW patut dijadikan panduan dan ikutan bagi mengurus marah. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya marah daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan diciptkan daripada api, sedangkan api perlu dipadamkan dengan air. Maka apabila seseorang kamu marah hendaklah dia mengambil wuduk.."
Begitu juga dianjurkan duduk jika seseorang marah dalam keadaan berdiri, atau berbaring ke tanah sambil mengingat asal dan tempat kembalinya nanti. Jika sedang bergerak disarankan berhenti dan jika sedang mengeluarkan kata-kata kesat hendaklah diusahakan diam daripada berkata-kata. Ingatlah marah tidak mencerminkan apa-apa selain daripada keburukan dan hilangnya maruah serta kehormatan diri.
Pernyataan ini juga bukan bermakna seseorang tidak perlu marah sekalipun kehormatan, harta benda dan maruah negaranya tercalar, seperti yang dialami oleh saudara Islam di Palestin. Sebaik-baiknya, kalaupun perlu marah janganlah sampai terlibat membunuh dan mencederakan orang lain.
Mengelakkan diri daripada terlibat melakukan perkara yang buruk adalah lebih baik daripada marah yang tidak berkesudahan. Malah perbuatan saling memaafkan adalah amalan mulia yang patut dipraktikkan dengan mengambil kira tiada manusia yang sempurna.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
aku hanya memasukan semula petikan yang aku perolehi daripada keratan akhbar di meja PN AZRINA MASLAN..aku rasa ianya sangat baik untuk semua....ada kalanya aku memang marah pada dia..tapi ia hanya bersikap sementara sebelum aku sendiri yang memujuk dia...tak pe la, beritahu pada hati...sapa yang tak pernah melakukan kesalahan.....